Archive for September, 2008
27
Aku pernah bertugas di majalah dekorasi selama lima tahun sebelum ke majalah pelancongan dan lima tahun lagi terjerumus dalam dunia gaya hidup atau lifestyle dan menggayakan lelaki. Percayalah, semua bukan mudah dilakukan tetapi kalau sudah hari-hari berdepan dengannya, lama-kelamaan jadi okay. Nak kata minat, aku tidak pernah bermimpi membuat majalah dekorasi sehingga ditugaskan. Aku diberi pilihan mahu majalah dekorasi atau majalah pengantin? Perjalanan aku dimulakan dengan majalah dekorasi kerana pilihanku sendiri. Sesiapa pun akan mahir jika melakukannya beratus-ratus kali. Cuma aku bukanlah pakar dalam menghias kediaman tetapi bolehlah setakat hendak menyusun atur barangan, memilih kelengkapan ruang dan mencari di manakah barangan murah. Aku berlumba-lumba dengan Oda (teman penulis majalah dekorasi) menghias kediaman.
Kediaman oda, jadi tempat kami berkumpul.
Ini my homies… Dulu.. Dah tukar here and there…
Sekarang lebih mudah kerana boleh rujuk pada majalah atau buku dekorasi. Paling syok kala memerhati kediaman pelakon pujaan dalam filem mereka. Kalau tak percaya, tengok ini…
Kediaman Pereka Fesyen
Pangsapuri Victory Ford (Lindsay Price) dalam Lipstick Jungle ada personaliti dan beberapa campuran barangan antik, warna candy pada dinding, perabot daripada pereka yang cantik dan kerja seni eye-popping menyegarkan. Kalau hendak memiliki dekorasi seperti ini tetapi dengan bajet lebih kecil boleh saja. Aku juga semasa menghias kediaman merujuk pada majalah, buah fikiran dan cita rasa sendiri. Barangan di beli merata-rata, tak semestinya berjenama. Candeliar hitam aku tu harga RM600 aku dapat semata-mata salah harga. Pekedai di Puchong tu kata sepatutnya RM750. Apa nak buat barang lepas jangan dikenang. Kannn…? Ruang tamu Victory dilengkapi sofa biru fabrik kapas yang dipadankan kerusi berlengan. Dinding merah jambu lembutnya berbeza dengan pilihan merah jambu terang ruang tamu aku. Jangan risau, belum siap sepenuhnya tu. Belah ruang makan sepatutnya ditambah floral hitam. Tunggulah.. ongkosnya ada. Gambar hiasan dinding artwork Victory tu boleh didapati di Ikea. Ohya, sarung kusyen cantik cari di Friven & co di Bangsar (jua dalam Jusco One Utama ada). Berbalik kepada Victory, dia melakukan kerja melakar rekaan pakaiannya di meja ruang makan sahaja. Dinding jubin kacanya sepadan dengan warna cat sebahagian lagi dinding. Jubin kecil lebih mahal ya daripada yang ukuran besar. Lebih glamor ruang makan ini diletakkan candeliar. Harganya lebih kurang saja dengan candeliar aku kalau pandai cari lebih murah lagi. Kalau beranilah, letak candeliar di dapur dan bilik air juga.
Penulis Bercita Rasa
Bagi penulis seperti Carrie (Sarah Jessica Parker), gaya hidup dalam Sex and the City sangat indah sekali. Aku harap dapat memiliki wardrobe sepertinya. Sesiapa yang pernah datang rumah (ya cik chur sekalian) pasti sakit kepala melihat kamar pakaian aku yang masih tiada kabinet (bajet dude; kena tunggu diri jadi orang kaya baru atau cari jerung kaya raya). Yada, yada, yada. Berballik kepada Carrie, birunya kamar itu menggoda sangat. Perasan tak di kaki katil ada etta ottoman. Paling menarik ruang makannya meletakkan kerusi berlainan. Ruang ini juga menjadi tempat Carrie menulis. Selain sarung kusyen, Friven & Co juga mewah dengan upholstri untuk kamar tidur. Carrie seperti juga Victory yang suka sepatu. Dua gambaran berbeza kediaman Carrie, ketika di dalam siri drama dan juga filem yang menggambarkan cara hidup lebih berbeza.
Penyamaran Failure To Launch
Paula (Sarah Jessica Parker) dan Kit (Zooey Deschanel) berkongsi kediaman bergaya eklektik ini. Sangat menarik dengan uphostrinya. Dari perabot, hiasan dinding ke aksesori girly. Barangan antik seperti cermin di ruang masuk kediaman sangat mengagumkan. Ada artwork juga. Wire dress menjadi aksesori. Kediaman ini menerima sentuhan Jeremy Conway, production designer untuk filem ini dan Sex and the City juga. Ini pula DIY projek untuk Failure to Launch;
1. Pintu Kertas Dinding – lihat rekaannya. Bahagian pintu boleh dilekatkan kertas dinding kesukaanmu. Asalkan ukurannya betul.
2. Lukisan Warna – tambah drama dengan melukis drawer kabinet bina dalammu. Pilih warna kontras. Warna salmon benar-benar serasi dengan oren pada seluruh kamar.
Ruang Peribadi Editor Glamor
Tidak seperti Lipstick Jungle dilanjutkan ke musim kedua, Cashmere Mafia hanya semusim. Namun, kediaman Mia (Lucy Liu) punya banyak inspirasi dan sukar dilupakan. Gaya ultra chic apartment Manhattan direka production designer Stephen Hendrickson menzahirkan palette warna sofikstikated sangat serasi dengan semua kelengkapan moden di dalamnya. Sofa empuk diteman kerusi swivel kulit hitam carilah di Harvey Norman, Mid Valley. Pasu bunga hitamnya mirip kepunyaan aku yang di beli di Friven & co. Lampu meja dan tiap perabot sungguh sofistikated. Mia jadikan sebahagian sudut ruang tamu sebagai mini pejabat. Bagi wanita bekerjaya aku kira perlu ada ruang pejabat. Mia merias meja dengan bunga segar seperti cranberry pink calla lilies.
Pejabat Eksekutif Pemasaran
Teman Mia, Caitlin (Bonnie Sommerville) pula dalam dunia produk kecantikan. Sebagai Marketing Executive firma kecantikan, dia ditugaskan memasarkan produk kecantikannya dan merancang segala-galanya dalam sebuah pejabat cantik. Kalaulah kita punya pejabat seperti ini, semangat nak kerja. Segala-galanya lengkap yang tiada hanya candeliar Kristal. Duduk bermesyuarat di sofa Clarke dengan simbahan dua lampu, idea pasti mencurah-curah.
Pereka Kasut Menawan
Holly (Hilary Swank) memiliki kediaman cozy punya perincian seni bina hebat. Keadaan ini melambangkan keidaman di kota New York yang sungguh menawan. Tingkap luas dimanfaatkan dengan meletakkan tempat duduk dan kusyen. Ruang putih dibalas dengan suntikan warna sungguh cantik. Candeliar Kristal pelbagai warna menjadi pilihan. Terendak lampu juga warna terang. Memang sesuai sangat dengan kerjayanya seorang pereka sepatu.
Pasangan Lasak Mr & Mrs Smith
Sangat elegan! Aku tak lupa jatuhan butir candeliar di meja makan atau kelengkapan metal di dapur. Candeliar ni aku pernah nampak di kawasan Puchong (dekat area Tesco selepas IOI Mall). Ketika mencari kelengkapan rumah, teman baik aku Sal menyarankan kami ke kawasan Puchong saja. Dia baru siap merias kondonya. Katanya puas sudah dia menjelah KL dan lain-lain kedai perabot tetapi paling murah di Puchong ini sahaja. Ruang tamu yang elegan dihubungkan dengan sebuah pintu ke ruang makan. Sungguh sempurna buat pasangan Smith. Lampur terapung di ruang tamu dan hiasan dinding cantik.
Cita Rasa Menantu & Mentua
Kediaman Charlie (Jennifer Lopez) dan Kevin melambangkan jiwa muda apabila latar oren menjadi pilihan. Kediaman ini mungkin tidak sehebat kediaman sebenar Jennifer Lopez tetapi sesuai dengan jiwa Charlie. Elemen seni bina diterapkan. Viola si mertua pula punya kediaman berciri Selatan California. Perabotnya daripada inspirasi Mediterranean. Itulah yang hendak digambarkan oleh Missy Stewart, production designer set Monster In Law. Palette warna neutral dipilih. Kebanyakan sofa, chaise dan ottoman di ruang tamu kemasan lembutnya bewarna putih dan krim. Pationya selesa untuk menghirup secangkir teh.
Intai Kediaman Peguam
Rose (Toni Collette) menerima kehadiran adiknya Maggie (Camaron Diaz) di kediamannya. Tumpuan dalam In Her Shoe adalah wardrobe kerana mereka sangat meminati sepatu. Lebih menarik apabila ruang tamu tradisional Rose kontras sekali dengan kamar beradunya yang lebih girly. Katil antic white wrought iron senada dengan bedsheet imperial silk quilt kelihatan sungguh mewah. Tips menarik storage di wardrobe Rose, kalau ada mangkuk cantik yang tak sanggup untuk dipakai di dapur, buat tempat penyimpanan barang kemas dan aksesori. Manakala sepatu diletakkan dalam kotak telus pandang. Mudah kamu memilihnya. Kalau Danise Richard, sepatunya masih dalam kotak tetapi untuk mengenal pasti sepatunya yang mana satu, dia menampal gambar sepatu di luar kotak untuk mudah cam.
Bertemu lagi… Enjoy!
14

Aku kurang sihat hari ini. Kebelakangan ini kesihatan semakin terganggu. Tertekan, mungkin! Kehilangan, pasti! Biar aku berkongsi ini dan akan ku garap kemudian hal-hal berkaitan dengan dunia lelaki. Ya, sudah lima tahun aku menggayakan lelaki. Dahulunya kerana tugas… lama-lama jadi minat. Cuma aku tidak berpeluang, diberi peluang, tiada ruang dan kebosanan mengundang. Life is not a book! Bahagia-bahagia selalu di hujung cerita. Mungkin aku tidak kuat menawannya. Give up??
02
Di sebalik kemasyhuran selebriti tidak mengira penyanyi, pelakon, pengacara, selebriti TV atau model, ada beberapa taktik tertentu yang mampu mengubah nasib mereka hanya dalam masa singkat.
oleh Marini Mat Zain
Senario 1
Selebriti cantik jelita bertaraf C-List mahu diangkat menjadi A-List. Oleh itu pengurusnya merancang pertemuan selebriti A dengan seorang pemain bola sepak tersohor. Mereka lalu jadi buruan paparazzi kerana dikatakan pasangan secocok. Keadaan ini melonjak nama selebriti A sehingga mendapat lebih banyak tawaran menyanyi. Lalu dia telah berjaya berada di takhta A-List sejak itu.
Senario 2
Malam anugerah gilang-gemilang, pelakon B bersama pasangan baru melangkah keluar dari limosin, mendapat perhatian peminat sekeliling. Keadaan hingar-bingar kerana namanya dipekik peminat. Apa lagi lensa kamera lalu mencari-cari siapakah gerangan pelakon mendapat perhatian itu. Kerana itu pelakon bertaraf B-List itu dipandang tinggi imejnya. Sebalik kejadian itu, kelihatan si pengurus membuat bayaran kepada sekumpulan peminat sebagai upah meriuhkan suasana di tepi permaidani merah tadi.
Senario 3
Pergelutan di belakang pentas, sepatutnya model A memakai pakaian penutup. Tetapi kebijaksanaan model B merampasnya telah memberikan impak kepada kerjayanya. Berjalan memakai pakaian pada penutup sesebuah peragaan fesyen sambil memimpin tangan pereka fesyen naknya bernama besar seperti Karl Lagerfeld, pantas meletak model B sebaris supermodel lain.
Senario 4
Melihat wajahnya, pendatang baru si gadis 16 wajahnya agak pelik. Hidungnya terletak dan dagunya sangat runcing. Wajah keremajaannya sudah tiada kerana hidung aslinya sudah tiada dan dagunya pula disuntik. Katanya, hadiah hari jadi ibu bapa membelanjakan sejumlah wang untuk mencantikkan wajah kerana pelaburan, dia bakal dijanjikan menjadi artis tersohor. Aneh bukan?
Nah, empat senario tadi mungkin hanya berlaku di Hollywood. Namun, apakah di sebaliknya yang tersirat? Segala-gala dikecap, setiap kemasyhuran diraih, adalah terlebih dahulu dirancang teliti. Jarang adanya tuah datang bergolek seperti berlaku pada diri Dato’ Siti Nurhaliza dan Mawi. Semua orang perlu berusaha keras kerana telah banyak dilihat artis pernah menghasilkan album tetapi kesudahannya menjadi penyanyi kelab. Pernah melonjak nama pelakon filem tetapi sejak akhir-akhir ini hendak dapat tawaran drama pun susah. Di manakah silapnya percaturan mereka?
Sebelum menjadi selebriti, mereka perlu mengenal pasti kelebihan diri terletak di tingkat mana. Bukan semua orang bertuah punya X-factor yang rezeki datang bergolek. Menengok pula yang bergolek datang itu berkualiti atau sekadar menjerumuskan diri. Maksudnya, sehinggakan mahu ke majlis rasmi tiada yang mahu menaja pakaian. “Maaf, personaliti dia tidak kena dengan imej produk kami,” itulah alasan sering didengari. Kesukaran juga buat kita orang majalah, mencari pakaian untuk disarung kepada sesetengah artis ini. Biarpun pakaian ditawarkan untuk muka depan majalah. Kadang-kadang mereka tenggelam dengan dunia glamor tiada bertepi atau sekadar ‘rasa’ saja diri glamor, sedangkan kita dalam kesukaran mencari artis paling sesuai dengan client dan pengiklan kita.
Pertelagahan dua pendapat ini—Sama ada populariti lebih penting atau bina jenama diri ke peringkat kelompok high end? Menyentuh populariti tidak disangkal lagi si selebriti akan dikenali ribuan peminat, maka mudah menang anugerah melibatkan undian atau SMS. Manakala penjenamaan diri lebih ke kelompok atas pula, selebriti itu juga dikenali namun sukar meraih lebih undi atau SMS. Begitu pun, mereka banyaknya menjadi duta produk jenama antarabangsa. Bukan tidak ada peminat namun golongan peminat mereka tergolong daripada mereka berpendidikan, berpendapatan tinggi dan atasan yang tidak mungkin rajin mengundi atau berSMS. Cara mereka menghargai selebriti diminati berbeza.
Ada juga insan selebriti bertuah yang mampu meraih populariti dan sekaligus menjenamakan dirinya sebagai duta produk antarabangsa tetapi amatlah jarang berlaku. Langkah pertama apabila melangkah ke dunia hiburan tidak mengira seni lakon, menyanyi dan peragaan, usahlah lagi wajah kelihatan bersepah di mana-mana. Jikalau hendak diikutkan, jenguk kedai mamak jangan sekali-kali (itu jika dikira paling ekstrem). Pakaian pula perlulah sentiasa segak takut ada pula peminat menghampiri dan mahu bergambar, tidaklah diri keluar selekeh dalam laman blog peribadi peminat itu. Jika tiada undangan ke majlis seni atau anugerah, sekadar menumpang jemputan orang juga perlu dielakkan. Biar diri tampak mahal asalkan jenama diri melonjak sahamnya.
Katie Holmes in tod’s trench. Dulu dia hanya gadis biasa serba ringkas dan tidak mendapat perhatian media.
Jika selebriti itu sedia bijak merencanakan perjalanan seninya, dia hanya perlu mengambil pengurus, pembantu peribadi dan lain-lain untuk menjalankan rancangannya. Melainkan jika tahu kelemahan diri, tidak pandai mengurus diri, seorang selebriti patut mencari pengurus yang bijak menjadi mastermind sekaligus menguruskan segala kegiatan sehingga ke kemuncak. Perlu ingat, mengambil seorang pengurus bukan sekadar ada orang menemani ke sana ke mari daripada kelompok kenalan atau saudara dekat. Bukan kerja mereka sekadar menjadi pak pacak mengendong persalinan ke semua lokasi dan sekadar mampu menguruskan kelab peminat juga mengisi jadual harian dalam diari. Lebih daripada itu pengurus perlu tahu strategi mencari job berkualiti dan membina penjenamaan artisnya agar cantik di mata agensi yang mewakili produk antarabangsa.
Jauhkan diri terjatuh ke tangan individu yang punya kepentingan peribadi sekadar mahu mengambil kesempatan. Selayaknya selebriti mengupah pengurus serius dan berkaliber. Punya latar belakang tidak boleh disangkal lagi dan pernah meletak seorang artis lain di bawah pengurusannya sehingga berjaya. Popular tidak semestinya mampu meraih keuntungan. Mereka menerima tawaran tidak putus-putus dan jika semua hendak diterima, mana letaknya kualiti diri. Kemewahan itu pastinya datang sementara. Jadi cerewet bertempat sesekali perlu. Nicholas Saputra contohnya hanya berlakon filem setahun sekali dan memilih skrip paling berkesan. Selama menunggu kemunculannya peminat jadi histeria. Tidak terpilih menjadi artis popular juga mampu mewah dengan selonggok wang sekadar menjadi duta satu dua produk. Paling tidak sebagai permulaan menjadi wakil jurucakap produk dan artis terpilih untuk testimonial produk.
Kadang-kadang menonton E Channel, Astro, bukan sekadar melopong melihat Jessica Alba dan Beyonce seksi atau Johnny Depp dan George Clooney kacak. Cubalah mengambil iktibar daripada perjalanan seni mereka. Banyak jua bahan bacaan boleh dijadikan panduan dalam merencanakan kejayaan diri. Apakah dunia hiburan di Malaysia terlalu ditenggelami rasa glamor sehingga jarangnya ada yang berpijak di bumi nyata. Apa yang saya mampu katakan, sayangnya!












































