Bagaimana Menyusun Bagasi Paling Mudah…

travel

Dua hari sebelum perjalanan saya sudah memikirkan apa perlu dibawa untuk kembara lima hari ke Jakarta/Bandung. Tiba sahaja di destinasi, ada tayangan perdana filem Gending Sriwijaya perlu saya hadiri. Filem Karya Hanung Bramantyo, pengarah filem Ayat-ayat Cinta.

Ada beberapa urusan lagi perlu dilunaskan di Bandung pula. Dalam waktu yang sama kerja-kerja menulis, saya bawa bersama. Semua ada tarikh matinya—Dateline/Deadline—Apa-apalah dipanggil. Kerja menulis di majalah, proposal TV dan skrip. Majalah rujukan dan dokumen penting perlu di bawa.

filem indonesia

Waktu berjalan pantas, saya perlu memikirkan bagaimana mahu memuatkan segala kelengkapan kerja juga. Kalau boleh biar rancangan kerja berjalan lancar tetapi tidak mengganggu kembara ini. Tidaklah sampai perlu tambah satu lagi bagasi. Satu sudah mencukupi.

Ada yang suka kembara secara backpack tetapi kali ini kembara saya lebih elegan dengan mencampakkan bagasi ke kargo dan menaiki pesawat dengan tas tangan sahaja. Tidak seperti selalu saya rajin memikul beg ke dalam pesawat. Atau teman saya yang tolong pikul (senyum).

packing

1. Mula-mula ketahui keadaan cuaca destinasi kamu. Saya hanya ke Negara jiran. Semestinya cuaca lebih kurang sama sahaja. Bagi kamu yang kembara lebih jauh, perlu fikirkan pakaian bersesuaian dengan keadaan cuaca destinasi kamu kunjungi.

2. Tinjau gerobok kamu, apa yang mahu dibawa. Atur apa mahu dipakai pada setiap hari. Jangan terlebih bawa tetapi kalau kurang, boleh dibeli kemeja-T atau seluar pendek di sana. Ada teman saya bawa kurang pakaian kerana merancang mahu beli-belah di sana. Saya bawa cukup-cukup pakaian kerana 1)tidak merancang beli-belah dan 2)mahu berjimat (Kala menulis ini saya tersenyum kerana tidak percaya dengan diri sendiri).

3. Gulung pakaian bukan sekadar jimat ruang tetapi mengelak dari pakaian berkedut. Efektif jika mahu digunakan terus pabila tiba di destinasi. Seandainya cukup ruang, lipat empat segi sahaja. Segala-galanya bergantung pada besar bagasi kamu. Saya gulung semua. Aksesori di letak dalam bekas plastik penyimpanan sebelum disusun. Kotak barang kemas tak praktikal dibawa. Sepatu juga dibungkus terlebih dahulu.

4. Barang-barang fragile letak di tengah-tengah lipatan pakaian agar lebih selamat. Barang paling fragile lagi penting bagi saya, alat solek dan wangian. Pakaian paling penting diletak teratas agar mudah dicapai. Contohnya untuk hadirkan diri di tayangan perdana esok setelah tiba di Jakarta, saya sediakan pakaian ke acara itu paling atas.

5. Bagi kumpulan pakaian dalam, selit-selitkan sahaja mana-mana bahagian lohong. Bawa secukupnya.

6. Saya suka mengikat skarf pada pemegang bagasi agar mudah melihat ketika mengutip bagasi di laluan bagasi.

7. Barang-barang berharga biarlah di dalam tas tangan kamu. Atau dibungkus kecil agar mudah dimuatkan di bawah tempat duduk atau disimpan di tempat penyimpanan di atas kamu. Saya cukup dengan tas tangan sahaja.

Apa lagi ya? Oh ya, jangan lupa siap-siap letak passport di dalam tas tangan. Juga nombor rujukan tiket penerbangan. Alamak, saya belum tukar mata wang… Jumpa lagi!