Share

Saat saya berada di dunia majalah, mencari model beraksi dalam iklan atau projek drama dan filem, banyak pendatang baru bercita-cita mahu  menawan dunia peragaan. Ada yang bertuah, mampu menempa nama sekelip mata. Ada juga mencuba bertahun-tahun tetapi sukar sekali mendapat tempat. Coco Rocha sendiri pernah gagal dan berhijrah ke Asia sebelum pulang menempa nama seperti hari ini.

Seorang supermodel yang sangat merendah diri, Coco Rocha sudi berkongsi kisah selama sejam bersembang di kamar hotelnya. Acara Dream Beautiful yang dibawakan Mary Kay telah menerbangkan saya ke Hong Kong. Coco Rocha, 26, berketinggian 5’10 ini merupakan salah seorang juri dalam pertandingan mencari gandingan model dan jurusolek terbaik di serantau Asia Pasifik. Ikuti perkongsian Coco tentang kecantikan, fesyen dan tip peragaan.

Pendapat kamu mengenai pertandingan Dream Beautiful?

Mary Kay bijak dalam menyatukan kecantikan, fesyen dan bisnes. Bagi saya wanita itu baik model atau tidak semuanya sama sahaja keinginan mereka.

Apakah yang seronoknya berada dalam industri fesyen?

Masuk dalam industri fesyen dan belajar daripada mereka yang hebat seperti Gaultier, Anna Wintour dan ramai lagi memang menakjubkan. Ada yang beranggapan menjadi model paling seronok apabila dapat melancong, memang seronok mengenal negara lain. Tapi untuk saya bertemu orang baru setiap hari dan belajar mengenai kisah mereka adalah lebih berharga.  Saya tamatkan pelajaran sekolah tetapi tidak menyambung pelajaran ke kolej atau universiti. Tetapi saya ibarat tamat belajar  apabila bertemu dan belajar teknik modeling daripada mereka ini.

Kongsikan pengalaman kamu sebagai mentor dalam rancangan televisyen The Face?

Saya menyertai The Face pada musim pertama sahaja. Bagi saya konsep rancangan ini bagus apabila seorang model lama dalam industri dapat mendidik model-model baru dengan memberi jawapan pada pelbagai persoalan. Pada awal penglibatan saya dalam dunia peragaan, tidak ada tunjuk ajar atau buku ‘How to Model…’ Jadi kami belajar sendiri dari pengalaman. Ada model mendapat kerja dan seorang model yang lain akan berang, itu tidak benar. Setiap orang punya rezeki sendiri jadi bekerjasamalah sebagai satu unit. Pengalaman menjadi mentor di The Face sangat seronok dan saya masih berhubung dengan model di bawah jagaan saya. Konversasi terbuka sangat penting. Sama sahaja dengan pertandingan Mary Kay Dream Beautiful, saya sering menasihati peserta untuk bertanya apa sahaja soalan dan jangan gemuruh untuk mendengar jawapan-jawapan.

Apakah kunci kualiti perlu ada dalam diri seorang ‘it girl’ sehingga menjadi model disukai ramai?

Penting untuk jadi sahabat dan dirasai dekat oleh semua. Pendek kata jadilah ‘girls next door’ yang disukai ramai. Saya bersikap terbuka dan menjawab soalan dengan sejujur mungkin. Saya diusia remaja seorang yang lurus, lelaki tidak menyukai saya, diejek kawan perempuan. Saya seorang yang pemalu sehingga kini jadi mungkin itu orang ramai dapat merasai kehadiran saya dalam industri. Kualiti seorang gadis disukai ramai adalah dia mesti tidak terlalu memikirkan diri sendiri. Cuma berbekalkan keyakinan diri yang membolehkan kamu bertegas dengan kemahuan sendiri.

ddd

Apakah yang dimaksudkan keyakinan diri?

Model baru selalunya tak ada keyakinan diri. Yakin diri itu perlu ada kerana tanpanya amat sukar bagi mereka nak menolak atau menerima satu-satu pekerjaan diberikan. Model baru ini akan mengalami masalah dalam menentukan corak atau pendirian mereka contohnya kalau mahu menolak untuk menyarung kot bulu atau memperagakan pakaian mandi tapi mestilah memberi cadangan lain sebagai penyelesaian. Percayalah, lama kelamaan orang industri akan hormati pendirian kamu.

Bagaimana mahu bertahan dalam industri modeling?

Semua orang nak jadi model sebab itu model lama mudah diganti tetapi jikalau kamu punya personaliti yang bagus, tak perlu bimbang dengan persaingan. Paling pentin adalah sentiasa memperbaiki diri.

Model walks on the walkway during Mary Kay Dream Beautiful Contest 2014 at the Shaw studios on 16 October 2014 in Hong Kong. Photo by Xaume Olleros / studioEAST.

Siapakah model yang menjadi idola kamu?

Bagi saya Iman dan Cindy Crawford bijak dalam memasarkan diri mereka. Cindy Crawford adalah sinonim sebagai model untuk senaman. Jadi apabila disuruh bergambar dengan rokok, dia menolak kerana tidak mencerminkan imej sihat dibawanya dalam televisyen. Dia telah mendorong model untuk terlibat dengan televisyen seperti Heidi Klum dan Tyra Banks. Model boleh buat apa sahaja. Iman pula berdepan cabaran, alat solek ketika itu tidak ada yang sesuai buat kulitnya. Lalu dia pulang dan terfikir mencipta jenama solekan sendiri yang sesuai dengan semua jenis kulit dan menjadi isnpirasi semua jenama lain. Saya jadikan mereka contoh terbaik, kalau ada kekurangan dalam industri maka berusahalah memperbaikinya. Kalaupun ada yang menghalang, cuba lakukan terbaik. Ketika saya berniat menerbitkan buku, mereka mengatakan mustahil kerana terlalu tebal dan banyak muka surat. Apabila diberitahu begitu, saya lagilah berazam melakukannya.

Tahniah dengan terhasilnya buku Study of Pose. Bagaimana buku ini terhasil?

Buku ini semuanya tentang aksi atau pose, bukan sahaja untuk rujukan model baru malah sesuai juga untuk artis, pelukis dan semua yang melibatkan seni. Terdapat 1000 pose dalam bentuk buku dan juga video digital. Sesi fotografi dilakukan dalam tiga hari menggunakan 100 kamera tetapi mengambil masa dua tahun untuk menerbitkannya.

10675620_10152544850858401_5635367585932123326_n 10687043_10152544979528401_2490074516673028849_n

Kamu dikenali memiliki ‘pose’ pelbagai di depan lensa. Apakah rahsia disebaliknya?

Saat memulakan kerjaya model di New York, peluang tidak banyak di sana jadi saya dibawa ke Asia seperti Taipei untuk dua bulan dan Singapura dua bulan. Ketika di Taipei saya bersaing dengan model lain untuk mendapatkan kerja dan perlu memberi ‘pose’ yang berbeza seperti seksi, konfiden dan sebagainya. Kalau klien suka, mereka akan beri kamu kerja untuk katalog dan menghasilkan sebanyak 25 hingga 75 imej sehari. Setelah pulang ke New York saya sangkakan proses sama dibuat tetapi mereka mula ketawakan saya dan rasa ia aneh tetapi ada juga klien yang anggap apa saya lakukan itu (memberi pose yang pelbagai) sebagai menarik. Setelah sekian lama aksi saya itu jadi sebati, jadi trademark Coco Rocha dan didambakan klien. Jika saya beraksi biasa, mereka akan menjerit — Coco, do your own thing. (ketawa)

Bagaimana seseorang perlu tegas dalam pendirian mereka?

Kalau boleh beri ‘sesuatu’ pada klien. Cari kelebihan kamu kerana menjadi model bukan sekadar nampak cantik, glamor dan berdiri tegak depan kamera. Jangan takut memberi kelainan kerana itulah yang akan membezakan kamu dengan orang lain. Kadang-kadang perlu bertegas dengan pendirian, saya tak akan melakukan fotografi tanpa seurat benang, separuh bogel dan aksi dengan rokok. Kalau tidak selesa jangan ambil atau berfikiran kamu tak akan dapat kerja lagi selepas ini.

unnamed

Terpaksalah Supermodel Coco Rocha membengkokkan kaki nak bergambar dengan si rendang 5’2 ni.. haha

Bagaimana kamu menjaga tubuh langsing?

Entahlah (ketawa). Tapi saya makan menu yang sihat, minum air sepatutnya dan selebihnya adalah genetik. Perlu bijak memilih kerana apa dimiliki akan hilang sekelip mata.

Apakah pertandingan ratu cantik masih relevan?

Kalau memasuki satu-satu pertandingan dapat menaikkan kerjaya kamu, apa salahnya. Kadang-kadang kita gagal kerana tak jumpa orang yang tepat, kerja bersesuaian, waktu dan momen yang betul.

Apakah rutin kecantikan kamu?

Dahulu saya tak menjaga kulit dengan baik, pulang dari kerja tidur dengan solekan sehingga keesokkan harinya. Kemudian saya sedar itu adalah kesalahan besar dalam kecantikan. Sekarang saya akan pastikan kulit saya bersih sebersih-bersihnya dengan rutin mencuci, melembap dan menyegar. Saya suka bersolek dan saya rasa saya satu-satunya model yang rajin bersolek, berkreatif dan rajin mengekspresikan diri dengan solekan walaupun diluar kerja. Pernah teman model menegur apakah saya dari sesi fotografi tetapi sebenarnya tidak (ketawa). Bagi saya wajah adalah ibarat kanvas untuk berkarya. Saya suka cat eyeliner, suka bulu mata palsu tapi taklah pakai setiap hari, gincu yang pop, bedak asas dan saya masih berlatih melukis kening dan semestinya dengan alat solek Mary Kay yang dihantar kepada saya.

Adakah peraturan dalam gaya kamu?

Peraturan bergaya bergantung pada apa sahaja kamu mahu terbitkan dalam diri. Bagi saya, kamu tak perlu nak fikirkan sangat apa gaya di pasaran dan di pentas peragaan. Kebanyakan orang terlalu banyak sangat berfikir dan risau nak mengikut musim. Dah tak ramai yang mementingkan gaya peribadi masing-masing. Saya rasa kalau kamu suka pakai warna terang sedangkan orang lain memilih hitam, pedulikan kalau itu yang membuat kamu konfiden. kalau kamu pakai ikut musim dan berjalan tak konfiden, orang sekeliling akan dapat mengesannya. Saya tak peduli media meletakkan pakaian saya dalam senarai terburuk tapi paling tidak saya masih dalam senarai kan? (ketawa). Hari ini saya memakai Sassy and Bide dan sepatu Jimmy Choo.

Apa pesanan Coco Rocha buat model baru di luar sana?

Kebanyakan model baru nak berseronok, glamor dan berpesta. Padahal kerjaya model ini adalah satu kerja. Boleh berseronok tetapi ingat ini adalah kerja. Wajib hormati semua orang termasuk penata gaya, jurugambar dan mekap artis. Kerjalah dalam berkumpulan untuk mendapatkan hasil yang cantik.